Saturday, October 17, 2009

PRK UUM : Komen

Pilihan Raya Kampus UUM kali ini menzahirkan betapa kesedaran para pengundi masih berada di tahap yang rendah. Rata-rata pengundi yang ditemuramah mengatakan mereka masih tidak tahu menahu apa itu PRK. Sehinggakan ada yang bertanya kembali untuk apa poster-poster digantung dan ditampal apabila diminta memberikan komen tentang PRK. Ramai yang menjawab apabila ditanya calon manakah yang dipilih, "Kami tanda yang cantik dan yang pakai songkok ."

Seperti biasa, pihak Aspirasi masih meneruskan dengan perbelanjaan mewah mereka, mengeksploitasi kemudahan infrastruktur dan menyalahgunakan pengaruh. Sebagai bukti, dua bilik di Blok 11D 1 Universiti Inn UUM telah disewa berhari-hari sebagai markaz mereka. Aspirasi juga telah mempergunakan bilik-bilik Jawatankuasa Perwakilan Mahasiswa di dewan-dewan penginapan pelajar termasuk JPMDPP yang ada. Selain itu, pelajar semester 1 DPP TNB(Tenaga Nasional Berhad) memberitahu uumkini bahawa mereka telah dipanggil pada malam sebelum hari mengundi dan diarahkan untuk memangkah calon-calon Aspirasi serta untuk tidak mengundi calon-calon Pro-M. Kejadian yang sama dilaporkan juga terjadi di beberapa DPP lain. Tambahan lagi, kelibat beberapa bekas pelajar UUM yang sudah bekerja juga kelihatan 'turun padang' membantu. Mereka dimaklumkan adalah bekas-bekas 'orang kuat' Aspirasi UUM semasa masih menuntut.

PRK UUM kali ini agak mendukacitakan kerana isu-isu yang menyentuh sentimen agama dan perkauman dijadikan bahan kempen. Gelombang politik kotor di luar masih lagi menjadi petunjuk dan ikutan bagi sesetengah pihak yang bertanding. Politik baru yang mementingkan nilai-nilai ketelusan dan persaingan sihat dilihat masih gagal dibumikan dan dihadam. uumkini

No comments:

Post a Comment